Komunikasi dan pengangkutan Pulau_Krismas

Perkhidmatan telefon dibekalkan oleh Telstra dan merupakan sebahagian rangkaian Australia, dengan awalan yang sama dengan Australia Barat. Sebuah sistem telefon bimbit GSM menggantikan rangkaian analog lama pada bulan Februari 2005. Empat buah stesen televisyen siaran bebas dari Australia disiarkan (ABC, SBS, GWN, dan WIN) di dalam zon waktu yang sama dengan Perth. Siaran radio dari Australia termasuk Radio Nasional ABC, Radio Wilayah ABC, dan FM Merah. Semua perkhidmatan dibekalkan melalui hubungan satelit dari tanah besar. Internet jalur lebar dari Australia disediakan untuk pelanggan di kawasan bandar mulai dari pertengahan tahun 2005 melalui CIIA (dahulunya dotCX), pembekal perkhidmatan internet.

Pelabuhan kontena terletak di Flying Fish Cove, dengan titik pemunggahan kontena alternatif di selatan pulau di Norris Point untuk kegunaan pada bulan-bulan Disember hingga Mac yang merupakan musim laut bergelora. Terdapat dua penerbangan mingguan ke Lapangan Terbang Pulau Krismas dari Perth, Australia Barat- (melalui RAAF Learmonth) yang dikendalikan oleh Sistem Jet Nasional pada setiap hari Isnin dan hari Khamis, serta satu penerbangan carter yang dikendalikan oleh Silk Air pada setiap hari Khamis.

Terdapat perkhidmatan bas di Pulau Krismas yang kerap dari Flying Fish Cove ke pusat rekreasi baru di Bukit Fosfat, serta juga perkhidmatan teksi. Rangkaian jalan raya meliputi kebanyakan kawasan pulau dan secara umumnya bermutu, walaupun kenderaan pemacu empat roda diperlukan untuk mencapai bahagian-bahagian hutan hujan dan pantai yang lebih terpencil.